Wednesday, November 9, 2011

Terima kasih sahabat..

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti kegembiraan dan kebahagiaan
dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain..
-----------------

"Wah, cantiknya!" Aku teruja melihat poster-poster pemandangan yang dibawanya.
"Nini ambillah satu, kita hadiahkan satu untuk Nini ye. Pilihlah yang mana Nini suka", dia tersenyum lembut kepadaku.
"Eh, takpela.. Kan untuk dijual ni.." Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Takpe, ambil je, kita suka tengok orang lain gembira dan bahagia dengan pemberian kita.." Paksaan lembutnya yang masih bertali arus, membuatkan aku mengalah akhirnya dan memilih salah satu daripada poster-poster tersebut.
Diam-diam aku turut berazam untuk bergembira dan berbahagia dengan mengembirakan dan membahagiakan orang lain.
-----------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti sokongan dan kekuatan
dengan menyokong dan meniupkan kekuatan buat orang lain..
----------------

"Jom masuk pertandingan ucapan awam!" Aku mengajaknya menyertai dengan penuh semangat.
"Nini masuklah! Kita bagi sokongan ye.." Mukanya berseri-seri.
DI hari itu. Aku memberi ucapan dengan penuh keyakinan. Walaupun tidak ramai yang memberikan perhatian, namun aku dapat melihatnya tersenyum di belakang, penuh perhatian terhadap setiap patah kata yang kuucapkan.
Diam-diam aku berazam, aku juga ingin menjadi kuat, dengan memberi sokongan dan meniupkan kekuatan buat orang lain.
---------------

Dia seorang sahabat yang mengajarku
erti ketabahan dan pengorbanan
dengan mengorbankan kepentingan diri demi orang lain..
--------------

"Kenapa tak beratur ambil nasi percuma?" Aku bertanya kehairanan. Di bulan Ramadhan, nasi diberikan percuma kepada para pelajar. Cuma, kadang-kadang jumlahnya tidak mencukupi untuk semua.
"Takpelah, Nini pergilah beratur dulu ye. Kalau orang terakhir beratur dah dapat nasi, kalau ada lebih, baru kita ambil, kalau takde, tak mengapa. Kita beli roti pun dah kenyang sebenarnya".
"Oh~ takpelah, kita tunggu sama-samalah.." Aku menirunya.
------------

"Isteri kedua?" Aku terkejut.
"Tak apalah. Mak ayah kita nak salah seorang daripada anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki ni. Takde siapa antara adik beradik kita yang nak. Jadi, kita kata biar kita yang kahwin dengan dia. Tak mengapa, yang penting redha Allah dan redha kedua ibu bapa". Dia tersenyum manis.
"Sedihnya.. tak tahu nak cakap apa lagi..", mataku bergenang.
"Nini jangalah menangis.. Tengok, kita tak menangis pun.." Dia ketawa ceria.
------------

Berkahwin di usia muda. Ketika masih menuntut di IPTA. Aku mendoakan dia semoga sentiasa bahagia, di dunia dan di akhirat sana..

Sahabat..
Segala apa yang telah aku pelajari
daripada dirimu
semoga mengalir pahalanya buatmu jua
aku juga ingin kau bahagia
kerana aku bahagia melihatmu bahagia
sebagaimana kau berbahagia
dengan berbahagianya orang lain..
Terima kasih sahabat..
-------------

10 tahun berlalu. Kini kami dalam lingkungan 30-an. Saling berhubung menerusi emel, sms dan telefon, namun tidak bertemu muka. AKhirnya, berpeluang bertemunya semula di majlis reunion yang amat menggembirakan. Aku menangis dengan deraian air mata bahagia.
"Comelnya anak-anak Nini!" Dia mencium pipi dua orang anak perempuanku yang malu-malu.
"Ni anak perempuan kita.. Dah darjah tiga. Maklumlah, ibunya kahwin awal" Dia ketawa ceria.
"Mana ayah?" Aku bertanya anaknya mesra sebaik sahaja dia selesai menyalami dan mencium tanganku.
"Ayah dah meninggal dua tahun lepas.." Jawapannya mengejutkan diriku. Aku memandang sahabatku dengan wajah terkejut tidak percaya. Dia tidak pernah memberitahuku kala kami berhubung di alam maya.
"Kenapa senyap saja, kalau dengar berita orang meninggalkan kena cakap sesuatu, ke dah lupa?" Dia bersahaja, berkata dengan nada bergurau.
Aku perlahan mengucapkan istirja'. Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNYA kita semua akan kembali..
--------------------

Aku tidak bertanya kenapa dia merahsiakan khabar ini kepadaku. Aku tidak bertanya kerana aku tahu jawapannya. Dia, mahu aku bahagia. Dia, tidak mahu aku bersedih disebabkan dia. Aku memahaminya. Aku kagum pada dirinya. Setelah itu, aku mendapat tahu bahawa dia bekerja sebagai guru ganti dan menjual pisang goreng di waktu petang untuk menyara tiga orang anaknya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Kesusahannya dipendamkan sendiri. Aku cuba menghulurkan sedikit bantuan kewangan memandangkan aku mempunyai pekerjaan yang tetap lagi lumayan, namun ditolaknya dengan baik. Aku melawat ke rumahnya, dan kedengaran anak-anaknya berkata, bestnya kalau ada ayahkan? Kala itu, dia di dapur membuatkan air untukku. Walau telah aku tolak, namun dia berkata, "Tak sudi ke minum air yang kita buat?" Apa lagi, air yang dibuatnya kuminum sehingga licin. Wang yang ditolaknya, kuberikan kepada anak-anaknya sahaja.
-----------------

"Abang nak kahwin lagi tak?"
Tersembur air teh yang diminum suamiku kala mendengar pertanyaan itu.
"Eh, kenapa tiba-tiba cakap macam ni?" Dia bertanya kehairanan. Suasana petang yang indah itu memberikanku kekuatan untuk melahirkan rasa hatiku. Kuceritakan perihal sahabatku. Sejak dulu hingga kini.
"Kalau macam tu sikap kawan Nini, mesti dia sendiri pun tak nak kahwin dengan abang..Takkanlah dia nak ambil suami sahabat sendiri.." Suamiku kembali menghirup teh sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ketawa kecilnya masih bersisa. Aku hanya tersenyum di sisinya. Sudah 5 tahun kami berkahwin dengan dikurniakan dua orang cahaya mata. Alhamdulillah!
----------------

Puas kupujuk dia. Kepakaranku dalam bidang psikologi digunakan sebaiknya. Ah~ air pun boleh melembutkan batu, apatah lagi aku seorang sahabat. Dia, akhirnya bersetuju. Menjadi maduku, menjadi ibu buat anak-anakku sebagaimana aku akan menjadi ibu buat anak-anaknya. Anak-anaknya yang turut berada di situ bersorak riang. Mereka akan punya ayah! Alhamdulillah!
---------------

"Abang.. Please.. Abang.." Aku merayu-rayu. Tidak kusangka, suamiku tidak mahu.
"Abang.. abang tak kesian ke kat Nini, letih-letih Nini pujuk sahabat Nini.. Tolonglah bang.. dia dah pun setuju bang.. anak-anak dia pun dah happy sangat dah.. tolonglah.." Mengalir air mataku. Tak dapat kubayangkan betapa hancurnya hatiku bila suamiku menolak.
"Bagi abang masa seminggu untuk berfikir.. Perkara besar macam ni, bukan senang-senang je.. Nini, Nini, kenapa Nini tak tanya abang dulu?" Suamiku kelihatan resah. Dia memegang kepalanya lagak orang kepeningan.
"Nini kan dah tanya. Abang kata, sahabat Nini yang tak mahu. Abang tak katapun yang abang tak mahu.." Aku meneruskan pujukan dengan air mata.
"Alahai Nini, kenapalah Nini buat macam ni.. Abang tak kata abang tak mahu, tak bermakna abang mahu.." Dia memejamkan matanya kejap. Mungkin tidak mahu memandang wajahku yang bermadikan air mata.. Oleh kerana aku tidak dapat menayangkan wajahku yang bermandikan air mata, esakan tangisku dikuatkan sedikit. Semoga telinganya yang mendengar esakan ini, dapat melembutkan hatinya. 
---------------

bersambung..

No comments:

Post a Comment